Tuesday, 6 December 2011

Peta Malaysia


Mengenali Malaysia melalui peta, ini membolehkan murid-murid lebih memahami tentang lokasi-lokasi di Malaysia.

Monday, 5 December 2011

Infomasi Lanjutan Mengenai Negara Kita - Malaysia

Malaysia (Tulisan Jawi; مليسيا) ialah sebuah negara raja berperlembagaan persekutuan di Asia Tenggara yang terdiri daripada tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan, yang menduduki bumi berkeluasan 329,847 kilometer persegis (127,350 batu²). Malaysia terbahagi kepada dua kawasan yang mengapit Laut China Selatan, iaitu Semenanjung Malaysia dan Borneo Malaysia (juga Malaysia Barat dan Timur). Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Thailand, Indonesia, dan Brunei dan juga sempadan laut dengan Singapura dan Filipina. Ibu negara Malaysia ialah Kuala Lumpur, manakala Putrajaya merupakan pusat kerajaan persekutuan. Pada tahun 2009, Malaysia diduduki 28 juta orang.
Malaysia berakar-umbikan Kerajaan-Kerajaan Melayu yang wujud di wilayahnya dan menjadi taklukan Empayar British sejak abad ke-18. Wilayah British pertama di sini dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Semenanjung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya, mula-mula disatukan di bawah komanwel pada tahun 1946, sebelum menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1963, Tanah Melayu bersatu dengan negeri Sabah, Sarawak, dan Singapura. Pada tahun 1965, Singapura keluar dari persekutuan untuk menjadi negara kota yang bebas. Semenjak itu, Malaysia menikmati antara ekonomi yang terbaik di Asia, dengan purata pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) kira-kira 6.5% selama 50 tahun pertama kemerdekaannya. Ekonomi negara yang selama ini dijana oleh sumber alamnya kini juga berkembang dalam sektor-sektor sains, pelancongan, perdagangan dan perubatan.

Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong, iaitu raja elektif yang terpilih dari kalangan sembilan raja negeri Melayu. Ketua kerajaannya pula ialah Perdana Menteri. Sistem kerajaan Malaysia banyak berdasarkan sistem parlimen Westminster, dan sistem perundangannya juga berasaskan undang-undang am Inggeris.
Malaysia terletak berdekatan dengan khatulistiwa dan beriklim tropika, serta mempunyai kepelbagaian flora dan fauna, sehingga menjadi salah satu daripada 17 negara megadiversiti. Di Malaysia terletaknya Tanjung Piai, titik paling selatan di seluruh tanah besar Eurasia. Malaysia ialah sebuah negara perintis Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara dan Pertubuhan Persidangan Islam, dan juga anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Negara-Negara Komanwel, dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.


Lambang Malaysia dan Maknanya


Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga Bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunya Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang di tunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia,

Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning  pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.