Monday, 28 November 2011

SUKATAN PELAJARAN PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN PERINGKAT SEKOLAH RENDAH

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan mata pelajaran yangmemainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sekolah rendah bagi melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara. Mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada perkembangan diri hubungan dengan orang lain dan interaksi dengan persekitaran. Mata pelajaran ini juga adalah wahana bagi mewujudkan semangat perpaduan dan apresias pelbagai budaya masyarakat negara ini. Kandungan mata pelajaran ini membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik bagi menghadapi cabaran masa depan.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menekankan empat prinsip pendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Belajar untuk mengetahui membolehkan murid menguasai ilmu bagi membina perasaan dan tingkah laku sivik. Belajar untuk bertindak merujuk kepada aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan menerusi aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Belajar untuk membentuk peribadi membolehkan murid berkembang secara menyeluruh dari segi rohani intelek, fizikal, emosi dan sosial. Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakan asas dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui prinsip ini, perpaduan dalam keluarga komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah mata pelajaran teras untuk semua murid sekolah rendah Tahap II. Selaras dengan ini, pihak sekolah bertanggungjawab membina sahsiah dan potensi murid dengan pengetahuan kemahiran dan nilai yang perlu bagi murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab sivik. Murid juga perlu dipupuk dengan pemikiran kritis dan kreatif serta kesedaran sivik untuk melahirkan individu yang dapat memainkan peranan yang berkesan dalam keluarga dan masyarakat.


Matlamat
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan memberi kesedarankepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.



Objektif mata pelajaran ini merangkumi tiga aspek iaitu pengetahuan kemahiran dan nilai.
Objektif Pengetahuan :
i. Mengenal pasti tingkah laku yang boleh menyumbang terhadap pembangunan watak yang mulia.
ii. Menerangkan peranan dan tanggungjawab ke arah pembinaan keluarga yang bahagia.
iii. Menjelaskan kepentingan hidup bersama secara harmoni.
iv. Memahami pelbagai agama, tradisi dan budaya masyarakat Malaysia.
v. Menerangkan sistem kerajaan Malaysia dan sumbangan pemimpin negara.
vi. Mengenal pasti cabaran dan ancaman dalam masyarakat.

Objektif Kemahiran :
i. Menguruskan diri dengan baik dan bertanggungjawab.
ii. Mengamalkan kesederhanaan dalam tingkah laku.
iii. Berinteraksi secara sopan dengan anggota keluarga, rakan dan masyarakat.
iv. Menangani konflik diri, keluarga dan rakan.
v. Belajar hidup bersama untuk kesejahteraan diri dan masyarakat.
vi. Menyertai aktiviti masyarakat untuk kebaikan bersama.
vii. Membuat keputusan yang bijak dengan mengambil kira kepentingan dia dan orang lain.

Objektif Nilai :
i. Mempunyai keyakinan terhadap kebolehan diri.
ii. Menghargai sumbangan ibu bapa dan anggota keluarga.
iii. Menghormati kaum dan budaya lain.
iv. Menyayangi alam sekitar.
v. Menunjukkan semangat kekitaan.
vi. Menghormati pemimpin dan menghargai jasa mereka.
vii. Menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara.

No comments:

Post a Comment